Mekanisme kawal visa furada haji

SEPANG 18 Julai – Kerajaan bercadang mewujudkan mekanisme tertentu untuk mengawal permohonan visa furada dari Arab Saudi dalam usaha menangani masalah penipuan dokumen itu pada musim haji akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membendung masalah itu.

Bercakap kepada media di sini, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mengerjakan haji supaya lebih berhati-hati dengan mana-mana individu dan agensi pelancongan yang menawarkan pakej visa furada yang luar biasa.

Menurutnya, visa furada haji yang mempunyai jumlah terhad itu sememang wujud dan menjadi hak kerajaan Arab Saudi yang diberi kepada individu mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan itu melalui kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Katanya, apa yang berlaku, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan untuk perniagaan mereka dengan menawarkan pakej haji visa furada walaupun belum mendapat visa daripada Kerajaan Arab Saudi termasuk menawarkan visa palsu.

Menurut beliau kesediaan Kerajaan Arab Saudi membenarkan menunaikan haji melalui visa furada menjadi nilai tambah bagi pengurusan haji Malaysia.

Sebelum itu, Ahmad Marzuk menyambut ketibaan kumpulan jemaah haji Malaysia pertama yang kembali ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. Turut sama Pengerusi TH Azman Mokhtar.

Seramai 298 jemaah haji Malaysia daripada kumpulan pertama tiba di KLIA hari ini pada pukul 9.05 pagi tadi melalui penerbangan Saudia Airlines SV 5612 yang berlepas dari Jeddah pada jam 7.10 petang semalam.

Ahmad Marzuk berkata, pada musim haji tahun ini hanya terdapat seorang jemaah meninggal dunia dan 32 masih menerima rawatan di pusat perubatan TH di Makkah.

Mereka yang dirawat itu mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk berhadapan strok haba.

Related posts

Leave a Comment