Cacar monyet pertama di India

MUMBAI 15 Julai – India mengesahkan kes cacar monyet yang pertama, semalam, membabitkan seorang lelaki berusia 35 tahun dengan sejarah perjalanan ke Asia Barat.

Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata, lelaki  terbabit yang tiba di Kerala, barat India, dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Julai lalu, kini menjalani pengasingan di hospital.

Lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan semua petunjuk utama padanya juga normal.

Ibu bapa pesakit dan sejumlah kontak utama menjalani pengasingan, manakala 11 penumpang yang mempunyai kontak dengannya ketika dalam penerbangan sama serta beberapa individu lain diminta untuk peka dengan sebarang gejala.

Kerajaan Persekutuan dalam satu kenyataan pula memaklumkan, sebuah pasukan peringkat tinggi dihantar ke Kerala untuk berganding usaha dengan pihak berkuasa tempatan serta mengesyorkan langkah kesihatan awam yang sewajarnya.

Selain itu, negeri-negeri turut diarah meningkatkan ujian saringan dan pengawasan terhadap sebarang jangkitan yang berkemungkinan kes cacar monyet.

Related posts

Leave a Comment