Kes harian melebihi 4,000

PUTRAJAYA 15 Julai – Jangkitan kes harian Covid-19 akhirnya melebihi 4,000 apabila 4,098 kes direkodkan pada Khamis berbanding 3,934 pada hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,608,768.

Kali terakhir Malaysia merekodkan angka melebihi 4,000 adalah pada 7 Julai dengan jumlah 4,020.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, daripada jumlah itu, lima daripadanya merupakan kes import.

Terdapat 38,913 kes aktif, tambahan sebanyak 2,019 kes di mana 37,495 individu atau 96.4 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah, 1,339 pesakit dirawat di hospital dengan 53 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Sebanyak 35 kes lagi memerlukan bantuan alat pernafasan manakala 2,071 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 4,534,019 orang pulih.

Lapan kes kematian termasuk dua kes di luar fasiliti hospital, ‘brought-in-dead’ (BID) direkodkan iaitu Kedah (3), masing-masing satu di Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (BID), Perak, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Sarawak (BID).

Ini menjadikan jumlah mereka yang meninggal dunia dalam negara ketika ini adalah 35,836 orang.

Sementara itu Kuala Lumpur merekodkan kes harian tertinggi dengan 1,485 kes berbanding 1,260 kelmarin, diikuti Selangor 1,069 (1,321), Negeri Sembilan 276 (174), Perak 274 (207), Sabah 181 (241), Pulau Pinang 160 (161) dan Melaka 142 (110).

Kedah mencatatkan 99 kes berbanding 79 kelmarin, Putrajaya 95 (111), Johor 94 (51), Pahang 80 (72), Kelantan 56 (29), Sarawak 43 (56), Terengganu 24 (33), Perlis 11 (14) dan Wilayah Persekutuan Labuan 9 (15).

Related posts

Leave a Comment