Kes kelima cacar monyet di Singapura

SINGAPURA 14 Julai – Kementerian Kesihatan (MoH) mengesahkan kes tempatan kedua jangkitan cacar monyet semalam melibatkan seorang warga Britain berusia 48 tahun yang menetap di Singapura.

Beliau kini sedang dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya stabil.

MoH dalam kenyataan di laman webnya memberitahu, lelaki itu  mengalami ruam pada bahagian dubur pada 6 Julai, demam pada 11 Julai seterusnya mendapatkan rawatan pada 13 Julai dan dimasukkan ke NCID pada hari yang sama. 

Pengesanan kontak sedang dijalankan dan kes ini tidak berhubung kait sebarang kes jangkitan cacar monyet yang dikesan sebelum ini. 

Antara lima kes cacar monyet yang dikesan di Singapura sejak Jun, tiga merupakan kes import, manakala dua merupakan kes tempatan. 

Kes pertama cacar monyet di sini adalah kes import, melibatkan warga Britain yang bertugas sebagai pramugara dan diuji positif pada 20 Jun, diikuti kes tempatan pertama pada 6 Julai melibatkan lelaki warga Malaysia yang menetap di Singapura. 

Satu lagi kes import disahkan sehari selepas itu, iaitu warga India yang menetap di Singapura dan baru-baru ini pulang dari Amerika Syarikat manakala kes keempat –  kes import pada 8 Julai melibatkan warga India yang menetap di Singapura dan baru pulang dari Jerman. 

Related posts

Leave a Comment