RM21 juta bagi 317 rancangan Felda

BERA 14 Julai – Perdana Menteri  Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM21 juta atau RM66,000 untuk tujuan pembangunan bagi setiap satu daripada 317 rancangan Felda sempena ulang tahun ke-66 agensi itu.

Beliau berkata, selepas 66 tahun pelbagai kemajuan dicapai dalam bidang perladangan termasuk pemerkasaan mekanisasi dan teknologi dalam pengurusan ladang peneroka, sehingga produktivitinya dapat ditingkatkan kepada purata 20 tan sehektar setahun, pada tahun ini.

Pencapaian ini mewakili pertambahan sebanyak 2.71 tan sehektar berbanding hasil purata peneroka bagi tahun 2021.

“Saya berbesar hati ingin berkongsi bahawa peningkatan produktiviti ini telah membawa kepada penciptaan nilai atau ‘value creation’ buat warga peneroka dengan jumlah melebihi RM1 bilion setahun.

“Peneroka juga dapat menerima tambahan pendapatan hingga RM162 juta bagi setiap kenaikan 0.5 peratus kadar perahan minyak,” katanya pada pelancaran sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Kejayaan Dalam Keberkatan’ di sini hari ini

Felda juga berjaya mengurangkan kos operasi ladang dengan penjimatan RM200 juta kos pembelian baja apabila Smart Plantation Management Solution (SPMS) iaitu aplikasi pintar yang diguna pakai membolehkan pembelian baja dibuat berdasarkan dirian pokok berbanding keluasan kawasan.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah hampir RM65 juta bagi pelaksanaan lima inisiatif untuk membantu peneroka Felda dan generasi baharu tanah rancangan itu dalam pelbagai aspek termasuk perumahan.

Inisiatif itu termasuk dana berjumlah RM20 juta di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman perumahan yang bakal dibuat generasi baharu Felda, membolehkan golongan itu tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman, sekali gus memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi.

Begitu juga dana pusingan RM10 juta bagi menyediakan lebih banyak peluang memulakan perniagaan dan meningkatkan kapasiti perniagaan kepada usahawan dalam kalangan generasi muda Felda, membabitkan pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 hingga RM20,000 dengan permohonannya dibuka pada Ogos.

“Bagi memberi kemudahan kepada generasi baharu FELDA untuk bermastautin di kawasan rancangan, Felda sebelum ini telah melaksanakan Projek Generasi Baharu Felda (PGBF). Saya ingin mengumumkan bahawa RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF.

“Ini bermakna, jika bayaran sewaan yang telah dibayar selama 36 bulan ialah RM10,800 maka pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 akan dikurangkan kepada RM79,200 sahaja,” katanya.

Bagi membantu peneroka Felda tanaman getah, Ismail Sabri berkata, sebanyak RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 diperuntukkan bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd, yang akan mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

Langkah yang secara keseluruhannya membabitkan pengurangan sebanyak 28 sen akan memberi tambahan pendapatan RM11.2 juta kepada 10,707 peneroka tanaman getah.

Ismail Sabri turut mengumumkan pertukaran program Premier Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda kepada Program Ulul Albab bermula tahun akademik 2023 yang bertujuan melahirkan generasi baharu Felda cemerlang dalam bidang profesional dan berpegang teguh kepada al-Quran dan sunah.

Sementara itu Felda Wilayah Jengka dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) 2022 dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM 1Juta.

Related posts

Leave a Comment