Thailand catat 13,821 kes baharu

BANGKOK 7 Sept. – Thailand merekodkan 13,821 kes baharu Covid-19 hari ini, hari kedua angka jangkitan di bawah 14,000 berbanding 13,988 semalam dan 15,452 pada 5 September lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,308,343 manakala 241 kematian direkodkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 13,283 orang meninggal dunia setakat ini.

Terdapat 13,303 kes baharu dalam kalangan orang awam termasuk enam kes import dan 518 lagi dalam kalangan banduan.

Bagi kes kematian, mereka yang meninggal dunia berumur antara 22 dan 100 tahun yang turut melibatkan lima warga Myanmar dan seorang Kemboja. Dua adalah wanita mengandung di Buri Ram yang tiba dari Samut Sakhon dan Chanthaburi.

Bangkok terus merekodkan kes kematian tertinggi iaitu 85 kes dan juga kes harian tertinggi yang menghampiri 4,000 kes.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan, Bangkok merekodkan 3,997 kes jangkitan baharu berbanding 3,610 semalam, diikuti Samut Prakan 1,140, Chon Buri 718, Samut Sakhon 694, Ratchaburi 439, Rayong 357, Ayutthaya 311, Nonthaburi 249, Phuket 232 dan Pattani 215.

Pada Isnin, 16,737 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kes pulih 1,149,595 manakala 145,465 orang menerima rawatab Covid-19 termasuk 4,487 kes kritikal dan 985 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment