Indonesia-India meterai kerjasama digital

JAKARTA – Indonesia dan India memeterai kerjasama strategik dalam sektor digital bagi mempercepat transformasi digital mampan dan memupuk inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat kedua-dua negara.

Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia dan Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India menjalin kerjasama itu melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di New Delhi kelmarin.

MoU itu ditandatangani sewaktu lawatan negara Presiden Prabowo Subianto ke India, yang turut menghadiri sambutan Hari Republik negara itu.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Meutya Hafid dalam kenyataan media menegaskan bahawa kerjasama strategik ini merupakan langkah penting yang menyatukan dua kuasa digital di Asia untuk mencipta inovasi yang memberi impak dan relevan kepada masyarakat.

“Kerjasama ini bukan sekadar mengenai teknologi, tetapi usaha bersama untuk menghubungkan masyarakat, merentas sempadan geografi, dan mendorong inovasi berpusat kepada kepada keperluan manusia,” katanya.

Perjanjian itu merangkumi pembangunan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT), pembangunan infrastruktur digital awam, serta peningkatan kemahiran sumber manusia dalam bidang teknologi maklumat.

Untuk memastikan pelaksanaan kerjasama yang berkesan, kedua-dua negara menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama yang akan memantau kemajuan, menangani cabaran, dan merangka penyelesaian inovatif.

Kumpulan itu akan bermesyuarat secara berkala bagi memastikan kerjasama terus berada di landasan yang betul dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Meutya menegaskan bahawa kerjasama dengan India adalah sebahagian daripada usaha lebih meluas Indonesia untuk meletakkan ia sebagai pemain utama transformasi digital global.

Nnnn

(Foto fb Prabowo)

Related posts

Leave a Comment