Rafizi senarai 26 calon pilihan MPP

KUALA LUMPUR 14 Julai – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menamakan 26 calon pilihannya bagi merebut jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu semasa Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.

Sambil mengalu-ngalukan semua calon yang bertanding, Rafizi dalam kenyataan melalui Facebooknya mengajak anggota parti memilih calon-calon yang secara jelas menolak ‘khemah besar’.

“Undilah calon-calon yang konsisten menolak khemah besar. Pilih calon yang mempunyai kepakaran masing-masing yang boleh digunakan untuk membina kekuatan parti.

“Kita wajar menjauhi budaya mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi atau tidak ada sebarang idea untuk menambah baik parti,” katanya.

Pemilihan MPP PKR akan berlangsung pada Sabtu ini dengan 20 kekosongan jawatan manakala pengundian pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Jumaat dengan masing-masing 20 jawatan.

Seramai 74 calon terdiri daripada pelbagai jawatan di peringkat pusat dan negeri telah menawarkan diri bagi merebut 20 tempat dalam MPP.

Pemilihan secara fizikal membabitkan lima perwakilan yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, dua calon dari Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang dan empat orang dipilih dari Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang.

Rafizi menyenaraikan bekas Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; calon Ketua AMK, Fahmi Zainol; Ketua PKR Sungai Petani, Ooi Tze Min; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Baktiar Wan Chik; Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina @ Nor Azrina Surip; selebriti, Hans Isaac; Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Low Hasid Hui dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai.

Sebelum ini, ketika bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi menamakan pasukannya termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Haron yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan.

Turut dalam pasukan Rafizi bekas Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail dan bekas Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol masing-masing bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dan Ketua AMK.

Bagi jawatan Naib Presiden, semua calon yang dinamakan kecuali Manivannan berjaya merebut jawatan manakala Rodziah dan Fahmi tidak terpilih dalam jawatan masing-masing.

Rodziah yang awalnya diumumkan menang Ketua Wanita PKR, dalam keputusan rasmi diisytiharkan tewas kepada Senator Fadhlina Sidek dengan 32 undi selepas audit forensik dijalankan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Rafizi mahukan barisan pimpinan yang ideal untuk meneruskan gelombang suara akar umbi yang telah dizahirkan bagi pimpinan peringkat atas.

“Pilih calon-calon yang tidak pernah terpalit dengan episod yang membawa masalah kepada parti. Elakkan dari mengundi calon yang pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang telah mengkhianati parti, atau kumpulan yang membawa budaya bodek/samseng yang ditolak anggota parti baru-baru ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment