Garis panduan NBD sambut jemaah haji

BERAKAS 13 Julai – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam (NBD) menasihatkan orang ramai mematuhi Garis Panduan Kepulangan Jemaah Haji NBD bagi Musim Haji Tahun 1443 Hijrah /2022 Masihi.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Awang Badaruddin Awang Othman berkata antara garis panduan itu adalah ahli keluarga jemaah tidak beramai-ramai menjemput jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 16 dan 17 Julai ini.

“Hanya seorang ahli keluarga sahaja dibenarkan bagi menjemput setiap seorang jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei iaitu bagi mengelakkan perkumpulan yang terlalu ramai dan juga mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Elakkan dari menziarahi jemaah haji dalam masa tiga hari selepas kepulangan mereka,” katanya pada sidang media semalam.

Tegasnya lagi, jemaah juga tidak digalakkan keluar rumah untuk menghadiri majlis atau ke tempat awam dalam tempoh tiga hari selepas ketibaan di samping membuat ujian ART setiap hari selama tiga hari dan melaporkan hasil ujian ART ke aplikasi Bruhealth.

Penerbangan pertama akan bertolak dari Jeddah (JED) pada Jumaat, 15 Julai, pukul 4:40 petang dan tiba di Bandar Seri Begawan (BWN) pada Sabtu, 16 Julai pukul 8:10 pagi manakala, penerbangan kedua bertolak pada 16 Julai, 4:40 petang dan tiba di Bandar Seri Begawan pada 17 Julai, pukul 8:10 pagi.

 

Related posts

Leave a Comment