Kes harian Singapura melonjak 16,870

SINGAPURA 13 Julai – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 16,870 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari Rabu ini, satu kenaikan hampir tiga kali ganda berbanding 5,979 kes yang dicatatkan semalam.

Menurut kenyataan MoH, jumlah itu juga tertinggi melebihi 12,784 kes yang pernah dicatatkan pada 5 Julai lalu. 

Jumlah kes baharu itu terdiri daripada 15,978‬ jangkitan tempatan dan 892 ‬kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,557,648 sejak pandemik bermula Mac 2020.

Sebanyak 15,926 adalah kes baharu Protokol 2, iaitu 15,072 kes tempatan dan 854 kes import yang melibatkan pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Di samping itu, sebanyak 944‬‬‬‬‬ kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 906 adalah jangkitan tempatan, manakala 38 lagi adalah kes import.

Dalam tempoh yang sama, tiga kematian dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 1,440 orang meninggal dunia setakat ini.

Sementara itu kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 1.01, naik berbanding 0.91 semalam di mana kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 semakin meningkat.

Seramai 734 pesakit masih dirawat di hospital, meningkat berbanding 679 yang semalam di mana 90 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 14 lagi dipantau rapi di ICU manakala 6,882 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai program vaksinasi, sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah divaksin di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment