Bekas PM Jepun mati ditembak

TOKYO 8 Julai  – Bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, 67 disahkan meninggal dunia selepas beliau ditembak pada acara kempen hari ini.

Menurut pegawai kanan Parti Demokratik Liberal (LDP), Abe meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara, tempat beliau menerima rawatan perubatan.

Bekas pemimpin itu menyampaikan ucapan pada satu acara menjelang pilihan raya apabila bunyi tembakan yang jelas kedengaran.

Bekas pemimpin itu menyampaikan ucapan pada satu acara menjelang pilihan raya apabila bunyi tembakan yang jelas kedengaran, lapor NHK dan agensi berita Kyodo.

Menurut laporan media, ketika dia sedang berucap, seorang lelaki datang dari belakang.

Tembakan pertama berbunyi seakan pistol mainan, namun Abe tidak jatuh sebelum terdengar tembakan yang lebih kuat.

Tembakan kedua lebih jelas, dan kelihatan percikan api dan asap menyebabkan Abe rebah dengan lehernya berdarah.

Terdahulu, lelaki yang disyaki melepaskan tembakan itu ditangkap.

Sementara itu Yang di-Pertuan Agong ,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Perdana Menteri Jepun itu.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Abe, dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan, suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar negara Jepun dan rakyatnya.

Mengimbas kembali pertemuan dengan mendiang, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Abe, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Istana Negara pada 11 Mac lalu.

Mendiang pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

Pada pertemuan itu, Seri Paduka turut berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada mendiang sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi menghadap itu adalah pertemuan kali kedua Al-Sultan Abdullah dengan mendiang, selepas yang pertama ketika Seri Paduka menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.

Dalam lawatan Mac lalu, mendiang juga menemui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Related posts

Leave a Comment