Tiada kes cacar monyet

KUALA LUMPUR 8 Julai – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan tiada kes cacar monyet dilaporkan di negara ini, setakat ini.

Beliau berkata, sehingga semalam sebanyak lima kes disyaki cacar monyet dilaporkan namun bukan membabitkan jangkitan cacar monyet.

“Satu daripada lima kes itu disahkan HFMD , tiga kes cacar air, satu kes ketayap dan satu kes demam biasa,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengesahkan mendapat maklumat seorang warga negara Malaysia yang menetap di Singapura disahkan dijangkiti penyakit itu.

Lelaki 45 tahun berkenaan disahkan menghadapi masalah lesi kulit pada 30 Jun lalu dan positif pada 6 Julai.

“Lelaki berkenaan bersama keluarga dan kawan-kawannya dilaporkan melancong ke Pulau Pinang pada 17 hingga 20 Jun lalu dan berada di Johor Bahru pada 11 dan 12 Jun serta 2 dan 3 Julai lalu,” katanya.

Khairy juga mengesahkan 15 kontak rapat dikenalpasti yang mana 14 kontak kasual yang berisiko rendah mendapat jangkitan.

Katanya, semua 14 orang itu terus dipantau tahap kesihatan mereka di mana seorang kontak rapat dikenal pasti pihak berkuasa kesihatan Singapura dan kini dikuarantin di negara berkenaan.

Related posts

Leave a Comment