Keahlian UMNO 4 individu gugur

KUALA LUMPUR 7 Nov. – UMNO mengesahkan keahlian empat individu dalam parti itu digugurkan selepas didapati mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berkata, pengguguran keahlian mereka adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.

Mereka adalah Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi, Shahidan Kassim (Parlimen Arau);  Dr Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) dan Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Dalam kenyataannya, Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO menyebut seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan DUN akan gugur keahlian dengan sendirinya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Justeru, beliau memaklumkan dengan pengguguran keahlian itu, jawatan mereka di peringkat UMNO bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkenaan.

Menurutnya, UMNO juga ingin menegaskan beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon itu turut dikenakan tindakan.

“Mereka dilihat mengiringi keempat calon itu semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan, kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment