Sentuhan’bendasing’ punca jangkitan?

SEOUL: Korea Utara mendakwa penularan wabak Covid-19 pertama di negara itu bermula dengan pesakit menyentuh ‘bendasing’ di sempadan dengan Korea Selatan serta menuduh jirannya itu cuba meletakkan kesalahan gelombang jangkitan itu ke atasnya.

Dalam hasil siasatan yang diumumkan, Korea Utara mengarahkan rakyatnya supaya ‘berhati-hati menangani bendasing yang dibawa oleh angin dan fenomena iklim serta belon di sepanjang garis persempadanan dan sempadan’.

Media kerajaan, KCNA melaporkan, seorang askar berusia 18 tahun dan seorang budak tadika berusia lima tahun mempunyai gejala dan diuji positif untuk Covid-19 selepas melaporkan mengenai bahan yang tidak dikenal pasti ‘di sebuah bukit di sekitar berek dan kawasan kediaman’ di daerah timur Kumgang pada awal April lalu.

Hasil siasatan menunjukkan beberapa orang yang datang dari kawasan Ipho-ri di Daerah Kumgang Wilayah Kangwon ke ibu kota pada pertengahan April mengalami demam dan peningkatan mendadak kes demam berlaku dalam kalangan kenalan mereka.

KCNA dilaporkan berkata, kesemua kes demam lain yang dilaporkan di negara ini sehingga pertengahan April lalu adalah disebabkan oleh penyakit lain, namun mereka tidak memperincikan kes berkenaan.

Pembelot dan aktivis Korea Utara di Korea Selatan sejak berpuluh tahun lalu menerbangkan belon membawa risalah dan bantuan kemanusiaan merentasi sempadan yang dikawal rapi.

Kerajaan bekas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, pada 2020 menghalang kempen sedemikian, susulan kebimbangan keselamatan penduduk di sempadan.

Namun, pihak aktivis menggelar larangan itu sebagai percubaan untuk memutihkan Pyongyang dan menutup mulut pengkritik, ketika usaha untuk meningkatkan hubungan rentas sempadan.

Korea Utara berdepan gelombang pertama jangkitan Covid-19 dan mengisytiharkan darurat pada Mei lalu selepas bertahun-tahun menguatkuasakan sekatan ketat untuk menghalang virus itu daripada memasuki negara itu.

Pada Julai 2020, pemimpin Utara Kim Jong-un mengisytiharkan darurat dan mengenakan sekatan tiga minggu di bandar Kaesong, berhampiran sempadan antara Korea, selepas seorang lelaki yang berpaling tadah ke Selatan pada 2017 kembali ke bandar itu dan menunjukkan gejala Covid-19.

Korea Utara bagaimanapun mendakwa gelombang Covid-19 sudah menunjukkan tanda-tanda reda tetapi pakar mengesyaki negara itu tidak melaporkan angka sebenar melalui media dikawal kerajaan.

Hari ini, Korea Utara melaporkan seramai 4,570 orang yang mengalami simptom, dengan jumlah pesakit demam yang direkodkan sejak akhir April adalah 4.74 juta.

Related posts

Leave a Comment