Penyebaran berterusan cacar monyet

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran “penyebaran berterusan” cacar monyet di seluruh dunia boleh menyaksikan virus itu mula berpindah ke kumpulan berisiko tinggi, seperti wanita hamil, individu yang lemah imunisasi dan kanak-kanak.

Agensi Kesihatan PBB itu sedang menyiasat laporan kanak-kanak yang dijangkiti, termasuk dua kes di Britain, serta di Sepanyol dan Perancis.

Virus itu telah dikesan di lebih 50 negara di luar benua Afrika di mana ia adalah endemik dengan peningkatan kes di negara-negara tersebut.

WHO menyeru agar ujian saringan dipertingkatkan bagi mengesan virus cacar monyet.

Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, terdapat lebih daripada 3,400 kes cacar monyet dan satu kematian, sejak wabak itu bermula pada Mei.

Sebahagian besar kes yang dikesan di Eropah dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Terdapat juga lebih daripada 1,500 kes dan 66 kematian tahun ini di negara ia lebih kerap merebak.

Minggu lalu, WHO memutuskan bahawa wabak itu belum lagi mewakili kecemasan kesihatan awam iaitu tahap amaran tertingginya.

Bagaimanapun, Dr Tedros berkata WHO sedang menjejaki wabak itu dengan teliti dan akan memanggil semula jawatankuasa itu “secepat mungkin” untuk menilai sama ada ia perlu dipertimbangkan semula.

WHO berkata ia juga sedang mengusahakan mekanisme untuk mengedarkan vaksin dengan lebih saksama, selepas negara termasuk Britain dan Amerika Syarikat mencadangkan kesediaan untuk berkongsi stok simpanan vaksin cacar mereka.

Related posts

Leave a Comment