Harga siling ayam kekal 2 bulan

KUALA LUMPUR 1 Julai – Harga siling runcit baharu ayam standard RM9.40 sekilogram serta harga telur ayam bagi Semenanjung yang berkuat kuasa mulai hari ini akan dikekalkan untuk tempoh dua bulan.

Harga siling runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji, manakala gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) seperti diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Rabu lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan berkata, penetapan harga itu adalah manifestasi keprihatinan kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat di semua peringkat.

Langkah itu juga bagi mengekalkan tahap nutrisi dan kesihatan Keluarga Malaysia untuk mendapatkan sumber protein yang diperlukan.

Harga siling runcit ayam dan telur ayam bagi Langkawi adalah RM10.90 sekilogram; Sabah (RM11 hingga RM11.30), Sarawak (RM9.80 hingga RM12.90)dan Labuan (RM11.30) berkuat kuasa untuk tempoh sama iaitu dua bulan.

Dengan pelaksanaan harga siling baharu ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi pukal untuk ayam dan telur adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu.

Kenyataan itu menjelaskan keputusan Kabinet menetapkan harga siling dan subsidi pukal bagi ayam dan telur dibuat dengan teliti demi kebaikan dan kesejahteraan semua peringkat termasuk penternak, pembekal, peruncit dan pengguna terutama golongan B40 dan M40 dalam menghadapi masa sukar peningkatan kadar inflasi seluruh dunia yang turut melanda negara ini.

Sementara itu, KPDNHEP akan meneruskan tradisi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dengan menggerakkan 2,200 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan bekalan mencukupi yang mana penternak, pemborong dan peruncit mematuhi harga siling baharu yang telah ditetapkan di semua peringkat rantaian.

Selain itu, Ops Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak (Ops ATM) Fasa 2 akan diteruskan bagi memastikan bekalan ayam, telur dan minyak masak sentiasa mencukupi dan stabil di pasaran.

KPDNHEP juga akan melakukan Ops Samar dengan pegawai penguat kuasa akan melaksanakan operasi tanpa memakai pakaian seragam dan kenderaan KPDNHEP serta melakukan ujian pembelian bagi memastikan peniaga patuh kepada patuh kepada undang-undang terutama bekalan, harga dan tanda harga.

Related posts

Leave a Comment