Dr Joachim bakal ganti Ongkili

KOTA KINABALU 1 Julai – Pemilihan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berlangsung semalam menyaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dr Joachim Gunsalam memenangi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam.

Beliau yang mendapat 339 undi menewaskan pencabarnya, Joniston Bangkuai yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dengan perbezaan hanya lima undi.

Ini bermakna Dr Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang bakal menjadi calon pengganti Dr Maximus Ongkili sebagai Presiden PBS selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu mengundur diri dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Sebelum ini Maximus menyatakan akan mengundur diri dalam tempoh tiga tahun bagi memberi masa kepada bakal penggantinya mempersiapkan diri untuk menjawat posisi nombor satu parti itu.

Beliau yang mengekalkan jawatan Presiden tanpa pertandingan juga menyatakan bakal penggantinya akan diketahui selepas pemilihan parti itu yang berlangsung semalam.

PBS mempunyai tiga kuota Timbalan Presiden, masing-masing mewakili Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam dan bukan Bumiputera (Cina), namun calon pengganti presiden lebih cenderung dari penyandang Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam.

Bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam, penyandangnya, Jahid Jahim yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah mengekalkan kedudukan tanpa bertanding, manakala bagi kuota bukan Bumiputera dimenangi bekas Timbalan Ketua Menteri, Dr Yee Moh Chai selepas mengalahkan Edward Yong Oui Fah.

Sementara itu, pemilihan PBS yang berlangsung sehingga lewat malam tadi menyaksikan lima jawatan Naib Presiden dimenangi muka baharu antaranya ADUN Lumadan, Ruslan Muharam; ADUN Tandek, Hendrus Anding dan Ketua Bahagian PBS Limbahau, Johnny Mositun.

Seramai 16 Ahli Majlis Tertinggi PBS yang baharu turut dipilih pada pemilihan itu yang secara keseluruhannya menyaksikan seramai 164 orang bertanding merebut pelbagai jawatan parti termasuk dalam pergerakan Pemuda dan Wanita.

Related posts

Leave a Comment