Jalaluddin tentukan sertai Exco atau tidak

SEREMBAN 4 Ogos – Terserah kepada  Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias untuk menentukan sama ada mahu menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu atau sebaliknya.

Menteri Besar, Ismail Lasim berkata, keputusan itu adalah hak dan pendirian Jalaluddin sendiri, memandangkan beliau juga adalah Ahli Parlimen Jelebu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum ada perbincangan terperinci antara kedua-dua pihak berhubung perkara berkenaan.

“Setakat ini belum ada perbincangan terperinci lagi dengan beliau. Jadi terpulang kepada pendirian beliau sama ada mahu menganggotai barisan Exco atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar di sini, hari ini.

Beliau mengulas spekulasi mengenai pendirian Jalaluddin yang dikatakan tidak akan menawarkan diri untuk menyertai barisan Exco negeri.

Semalam, Jalaluddin yang juga ADUN Pertang menegaskan beliau tidak akan menawarkan diri menganggotai barisan Exco baharu, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin lain untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan Exco adalah hak prerogatif Menteri Besar.

Dalam pada itu, Ismail menegaskan proses pelantikannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dilaksanakan mengikut tatacara yang betul.

Beliau berkata, dakwaan Pengerusi Wawasan Rais Yatim bahawa pelantikannya ke jawatan berkenaan dipengaruhi pihak luar adalah tidak tepat.

“Saya tidak begitu mengikuti apa yang tersiar di media sosial, tetapi saya rasa tatacaranya telah diikuti dengan betul dan dakwaan beliau (Rais) itu tidak tepat. Lain daripada itu saya tidak ada komen,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment