Henti serangan kemudahan perubatan – WHO

ISTANBUL –  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa serangan Israel terhadap kemudahan perubatan di Gaza dihentikan serta-merta selepas serangan yang memusnahkan sebuah tempat penyimpanan penting dan bekalan asas.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan kesihatan perlu dilindungi dan kemudahan kesihatan tidak boleh sesekali diserang atau dijadikan kawasan ketenteraan,

Hujung minggu lalu, serangan Israel menyasarkan tempat penyimpanan bersebelahan Hospital Syuhada Al-Aqsa, menyebabkan bangunan utama rosak serta memusnahkan peralatan perubatan, termasuk barangan yang baru dihantar oleh WHO.

Menurut Ghebreyesus, walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, keadaan keselamatan di wilayah itu kekal tidak menentu ketika penduduk bergelut dengan masalah kekurangan zat makanan, penyakit dan kekurangan rawatan perubatan.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu memberi amaran bahawa kemusnahan gudang ubat di Hospital Syuhada Al-Aqsa menyebabkan sistem kesihatan di wilayah itu berada pada tahap kritikal. 

Sejak Oktober 2023, WHO merekodkan hampir 1,000 serangan terhadap sektor kesihatan di Gaza yang mengakibatkan lebih 1,000 orang terbunuh dan 1,700 lagi cedera.

Related posts

Leave a Comment