Dos penggalak tangani Omicron

WASHINGTON: Panel pakar perubatan Amerika Syarikat (AS) menggesa supaya vaksin dos penggalak disediakan khusus buat Omicron menjelang musim luruh berikutan jangkaan vaksin Covid-19 diperlukan secara berterusan, sebagaimana dengan demam selesema. 

Seramai 19 anggota jawatankuasa tersebut, yang dihimpunkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), mengundi langkah itu manakala dua anggota membantahnya setelah sehari menyemak data yang tersedia.

Ahli sains kanan FDA, Peter Marks, merumuskan kerumitan masalah tersebut sebelum mesyuarat pakar itu, yang membuat unjuran mengenai hala tuju virus yang seringkali menentang ramalan dan berubah lebih pantas berbanding demam selesema biasa. 

“Apa yang kami lakukan hari ini adalah mengusahakan huraian dalam bidang yang sungguh mencabar kerana tiada sesiapa pun yang tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang,” katanya. 

Seorang anggota panel, Michael Nelson, profesor perubatan di Universiti Virginia, mengundi untuk melaksanakan langkah tersebut kerana beliau bimbang keberkesanan vaksin yang semakin merosot boleh menyebabkan kesan-kesan teruk pada pesakit-pesakit berisiko tinggi.

Para pembuat vaksin Pfizer dan Moderna sebelum ini mengumumkan data positif mengenai antibodi yang dihasilkan oleh vaksin khas buat Omicron.

Dua syarikat tersebut membuat pembentangan pada 28 Jun mengenai calon vaksin mRNA masing-masing manakala Novavax pula membentangkan tentang vaksin subunit proteinnya. 

Para saintis itu tidak diminta untuk mengundi jujukan Omicron yang mana mereka ingin melihat disasarkan oleh vaksin diperbaharui tersebut – sama ada BA.1, jujukan asal Omicron, atau BA.4 dan BA.5, yang sedang merebak dengan pantas di merata dunia. 

Bagaimanapun dalam perbincangan mereka, kebanyakan pakar itu nampaknya memilih suntikan vaksin baharu yang boleh digunakan untuk kedua-dua strain asal Wuhan serta BA.4 dan BA.5, jenis Omicron yang terbaru. 

Related posts

Leave a Comment