Zahid tidak layak pimpin UMNO

KUALA LUMPUR 27 Jun – Selepas digugurkan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tajuddin Abdul Rahman tampil mendakwa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tidak layak memimpin parti dan perlu berundur secara terhormat.

Beliau yang digugurkan jawatan itu Selasa lalu menerusi satu surat mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Dalam sidang medianya petang ini, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak turut mendakwa Ahmad Zahid juga tidak berpuas hati dengan kedudukan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan itu.

“Sebenarnya Zahid dah lama dianggap tidak layak memimpin UMNO. Lebih baik undurkan diri cara terhormat demi kepentingan parti.

Ahmad Zahid sudah menjadi liabiliti kepada UMNO, tak boleh mengepalai UMNO dalam pilihan raya akan datang, kita akan kalah, tanyalah orang awam, orang profesional,” katanya.

Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO menerusi surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Ahmad Maslan pada 21 Jun lalu.

Tajuddin adalah Ahli MKT UMNO yang dilantik oleh Presiden UMNO. Beliau tewas dalam merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada Pemilihan UMNO 2018, sebelum dilantik ke beberapa jawatan dalam parti, termasuk Pengarah Pilihan Raya UMNO.

Selain Tajuddin, turut dilantik Ahmad Zahid menganggotai ahli MKT termasuk Abdul Rahman Mohamad,  Rosni Sohar, Yaakub Khan serta  Arman Azha Abu Hanifah.

Pada hari sama pengguguran Tajuddin, Ahmad Zahid berkata, sikap dan pendirian Tajuddin yang bercanggah dengan parti antara punca Ahli Parlimen Pasir Salak itu digugurkan.

“Kena tanya beliau (Tajuddin) sendiri, apa kenyataan yang beliau sudah buat. Apakah bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang sudah dinyatakan dalam mesyuarat tertutup,” kata Ahmad Zahid.

Dalam sidang media itu, Tajuddin yang baru dilantik sebagai Duta Khas Malaysia ke Indonesia turut menyifatkan Ahmad Zahid bukan berjuang untuk kepentingan UMNO, sebaliknya kembalinya menjadi Presiden parti setelah berehat selama enam bulan pada tahun 2019, adalah bertujuan membolehkan beliau kembali berkuasa.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, ia dapat dibuktikan menerusi keputusan MKT selama ini yang didakwanya bukan kehendak 52 ahli badan tertinggi parti itu sebaliknya hanya berlandaskan kehendak Ahmad Zahid.

Related posts

Leave a Comment