SD sokong Anwar Ibrahim PM

KUALA LUMPUR 27 Jun – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tajuddin Abdul Rahman, mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen parti itu bagi menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau turut digesa menandatangani SD terbabit sehingga timbul isu jajaran baharu ketika itu.

“Isu jajaran baharu, ‘no Anwar, no DAP …come on’, saya saksi hidup, ada SD ditandatangani untuk sokong Anwar jadi PM,” katanya.

Tajuddin berkata, pendedahan itu dibuat hari ini kerana perkara itu tidak didedahkan Presiden UMNO itu kepada ahli-ahli partinya.

“Saya saksi hidup. Ada diminta tandatangan surat sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Kata No DAP, No Anwar tetapi memang ada SD (UMNO) sokongan Anwar kepada Istana. Saya diminta tandatangan.

“Mula-mula saya tak nak, tetapi dah masam muka, tandatangan juga,” katanya.

Ditanya siapa yang mengepalai gerakan bagi mendapatkan tandatangan SD berkenaan, Tajuddin dengan suara yang tegas berkata, ia dikepalai Ahmad Zahid.

“Mestilah, dia kepala,” katanya lagi.

Beliau turut menamakan beberapa Ahli Parlimen lain yang menandatangani SD terbabit antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas,  Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Pekan,  Najib Razak.

“Ahli Parlimen lain? Datuk Seri Hishammuddin Hussein saya tak ingat, KJ (Khairy Jamaluddin) pun saya tak ingat (tanda tangan SD) atau tidak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment