Harga ayam tidak diapungkan

PUTRAJAYA 24 Jun – Kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu adalah keprihatinan kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Julai ini.

Ia dijangka akan mengakibatkan harga ayam meningkat apabila ia diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun 2022.

Mengikut rekod, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard pada RM8.90 sekilogram.

Manakala ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pula pada harga RM9.90 sekilogram.

Related posts

Leave a Comment