Siapa mahu bertanding di Pulai?

JOHOR BAHRU 24 Jun – Khairy Jamaluddin, Wee Ka Siong dan Nazri Aziz dipelawa bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berikutan pendirian Nur Jazlan Mohamed untuk tidak bertanding di kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Johor itu, mengulangi pendirian untuk melepas dan tidak bertanding di kerusi Parlimen Pulai selepas tiga penggal mewakili kawasan itu dan tewas pada PRU lalu.

Beliau berkata, pendirian tegas itu dibuat selepas analisis yang jelas berhubung keputusan dan statistik pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua bulan lepas sudah memberikan petanda pada PRU-15 nanti.

“Saya tahu ramai terkejut dengan keputusan ini, ada yang macam tak percaya, ada yang anggap saya bergurau dan saya tahu ada juga yang gembira dengan keputusan saya itu.

Ramai juga yang pujuk saya untuk tarik keputusan itu tapi saya tidak mahu. Ada yang tanya kenapa saya tak mahu bertanding lagi sedangkan saya masih ‘muda’ lagi berbanding beberapa orang Ahli Parlimen lain yang sudah terlalu tua tapi masih bernafsu mahu jadi calon lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

“Jawapan saya mudah, dengan pola dan peratusan pengundi cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan BN, saya tahu saya akan kalah kalau bertanding juga.

“Kerusi Parlimen Pulai pula adalah kerusi marginal, di mana pecahan peratus undi Melayu dan Cina cukup tipis perbezaan. Kalau saya bertanding dan dapat 70 peratus undi Melayu tapi pengundi Cina pula langsung tak menyokong, saya tetap akan kalah.

“Sejarah PRU-14 sudah cukup mengajar saya untuk kenal hati budi pengundi Cina,” katanya menerusi hantaran di media sosial Facebook miliknya.

Pada PRU lalu, Salahuddin Ayub calon Amanah yang bertanding atas tiket PKR menang dengan majoriti 28,924 mengalahkan Nur Jazlan (BN) yang memperoleh 26,523 undi, Dr. Mohd Mazri Yahya (Pas) 4,332 undi dan calon Bebas Yap Keng Tak 591.

Nur Jazlan yang juga Ketua Umno bahagian Pulai, berkata terpulang kepada kepemimpinan parti untuk menentukan calon bagi kerusi Parlimen Pulai kelak.

Beliau tidak menolak jika Pengerusi MCA Johor, Ka Siong, nak beralih angin dari Ayer Itam ke Pulai.

“Mungkin Ka Siong boleh tarik pengundi Cina di Pulai untuk kembali pilih dia sebagai Ahli Parlimen baru, sekaligus boleh buktikan memang betul dakwaan beliau bahawa orang Cina sudah kembali sokong BN sejak PRN Johor lalu.

“Saya juga terbuka jika Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, yang selalu bangga beliau menang besar di kawasan majoriti Melayu itu datang bertanding di Pulai.

“Mungkin dengan ketokohan dan kehebatan beliau sebagai salah seorang Ahli Parlimen paling senior dalam BN, Nazri boleh menang besar di Parlimen Pulai ini. Pada ketika itu, barulah beliau boleh dabik dada bahawa dialah hero dan hulubalang sebenar dalam UMNO/BN,”katanya.

Jelas Nur Jazlan, mungkin juga Khairy boleh menjadi calon di Parlimen Pulai.

Katanya, Khairy juga sudah membuat pengorbanan besar dengan ‘rela’ menyerahkan kerusi Rembau kepada Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

“Jadi, saya berjiwa besar untuk memberi laluan kepadanya yang sedang mencari kerusi lain untuk bertanding pada PRU15 nanti.

“Saya juga rasa kerusi Pulai ini sesuai untuk KJ kerana ratio pengundi pelbagai kaum. 48% Melayu; 40% Cina; 12% India dengan 160,000 jumlah pengundi (Data terkini: PRN Johor) Kerusi Pulai ini ibarat kerusi Parlimen Keluarga Malaysia memang secocok dengan Khairy yang kini berada dalam Kerajaan Keluarga Malaysia.

“Saya juga ingin mempersilakan pahlawan-pahlawan UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk datang bertanding di Parlimen Pulai ini,” katanya.

Nur Jazlan menambah, antara faktor ramai pengundi terutamanya orang muda menolak berpunca daripada sifat pahlawan tua dalam PN yang masih tak mahu turun takhta dan beri laluan kepada generasi baru untuk memimpin.

‘Mereka sudah muak asyik mengadap muka sama sejak lebih 2 dekad,” katanya.

Related posts

Leave a Comment