Singapura umum pakej bantuan S$1.5b

SINGAPURA 22 Jun – Singapura mengumumkan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion yang bertujuan menghulurkan bantuan segera kepada golongan berpendapatan rendah dan kumpulan-kumpulan yang lebih terdedah kepada kesan kenaikan kos.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong yang mengumumkan pada satu sidang media semalam, berkata langkah-langkah sokongan dalam pakej ini lebih condong kepada usaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan memerlukan.

Katanya, ini kerana mereka adalah golongan-golongan yang terkesan secara tidak seimbang disebabkan oleh kesan-kesan inflasi.

Harga makanan dan tenaga meningkat dengan mendadak dan inflasi sejagat berkemungkinan akan kekal tinggi untuk beberapa waktu dan malah meningkat lagi sebelum ia stabil dan menjadi lebih baik, unjur Wong yang juga Menteri Kewangan.

Perang di Ukraine dan langkah-langkah kawalan COVID-19 di beberapa bahagian dunia telah mengganggu rantaian bekalan dan menyebabkan harga tenaga dan makanan melambung tinggi.

Kadar inflasi teras Singapura meningkat kepada 3.3 peratus pada April jika dibandingkan dengan tempoh yang sama setahun lalu dan berbanding 2.9 peratus yang dicatatkan pada bulan Mac, iaitu paras tertinggi sejak 10 tahun yang lalu. 

“Situasi inflasi akan akhirnya stabil, baik di peringkat global mahupun di Singapura, tetapi buat masa ini, kita harus menjangkakan harga akan terus meningkat dalam masa beberapa bulan akan datang,” kata Wong.

Pakej bantuan itu antara lainnya akan menyaksikan kira-kira 1.5 juta rakyat Singapura layak menerima Bayaran Baucar GST Khas sehingga S$300 pada Ogos 2022.

Selain itu, Kredit Utiliti Isi Rumah S$100 akan disalurkan kepada setiap isi rumah bagi membantu mereka menampung bil berkaitan.

Kenaikan harga minyak juga telah meningkatkan kos bagi kebanyakan individu bekerja sendiri yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari sumber rezeki manakala larangan eksport ayam hidup dari Malaysia telah menjejaskan mata pencarian rumah sembelih terbabit.

Sebanyak 11 rumah sembelih ayam Singapura dengan pekerjanya bergantung hidup kepada bekalan ayam hidup, akan diberi pengecualian Levi Pekerja Asing selama sebulan.

Pada masa sama, pakej bantuan itu akan membolehkan penyewa utama teksi dan pemandu kereta sewa persendirian, menerima bantuan sekali gus sebanyak S$150 pada Ogos 2022.

Bagi perniagaan, MOF berkata secara amnya, kerajaan akan melaksanakan langkah yang dapat membantu syarikat menangani peningkatan kos tenaga menerusi pembiayaan pelaburan bersama dalam peralatan cekap tenaga.

Satu Geran Kecekapan Tenaga baharu akan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam sektor Perkhidmatan Makanan, Pembuatan Makanan dan Runcit mendapat sokongan sehingga 70 peratus bagi menggunakan peralatan cekap tenaga dalam kategori yang telah diluluskan.

Bagi membantu perusahaan tempatan menangani kebimbangan mengenai aliran tunai, Skim Pembiayaan Perusahaan – Pinjaman Perdagangan akan dipertingkatkan dengan kuantum maksimum pinjaman dinaikkan kepada S$10 juta daripada S$5 juta mulai 1 Julai, 2022 hingga 31 Mac, 2023.

Related posts

Leave a Comment