Kes import cacar monyet di Singapura

SINGAPURA 22 Jun – Kementerian Kesihatan (MoH) mengesahkan satu kes import jangkitan cacar monyet di Singapura melibatkan warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara.

MoH menyatakan lelaki itu berada di Singapura antara 15 Jun dengan 17 Jun, dan sekali lagi pada 19 Jun kerana beliau terbang keluar masuk ke Singapura dan diuji positif bagi cacar monyet pada 20 Jun.

Beliau yang kini dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) berada dalam keadaan stabil manakala pengesanan kontak sedang dijalankan.

Pesakit tersebut mengalami sakit kepala pada 14 Jun dan demam pada 16 Jun. Gejala-gejala itu kemudian berkurangan dan beliau kemudian mengalami ruam kulit pada 19 Jun.

Lelaki itu membuat janji temu dengan doktor melalui khidmat telekonsultasi pada sebelah malam 19 Jun dan dihantar ke NCID pada 20 Jun bagi penilaian lanjut.

Pengesanan kontak sedang dijalankan bagi penerbangan-penerbangan terjejas dan bagi tempoh beliau berada di Singapura.

Semasa tempoh itu, beliau kebanyakannya berada di bilik hotel, kecuali untuk mengunjungi rumah urut dan makan di tiga tempat makan pada 16 Jun.

Secara amnya, risiko penularannya kepada pengunjung di lokasi-lokasi ini rendah, kerana data menunjukkan cacar monyet menular melalui kontak fizikal rapat atau berpanjangan.

Setakat 21 Jun, 13 kontak rapat sudahpun dikenal pasti dan semua kontak rapat akan dikuarantin selama 21 hari sejak kontak terakhir mereka dengan kes itu.

Selain itu, dua kontak berisiko rendah sudahpun dipantau melalui telefon. Mereka yang di bawah pemantauan menerusi panggilan telefon akan menerima panggilan setiap hari sepanjang tempoh 21 hari bagi memantau sebarang gejala yang timbul.

“Jika mereka disyaki dijangkiti, mereka akan segera dihantar ke NCID bagi penilaian lanjut dan diasingkan bagi mencegah penularan lanjut,” jelas MoH.

Related posts

Leave a Comment