Pemasangan kiswah menjelang haji

KAIN hitam bersulam benang emas dikenali sebagai Kiswah yang menutupi Kaabah di Kota Suci Makkah dinaikkan sebagai simbolik kepada bermulanya musim haji.

Ia yang biasanya diadakan pada atau selepas 15 Zulkaedah setiap tahun telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais pada Ahad lalu.

Kiswah yang kebiasaannya menutupi keseluruhan binaan Kaabah, dinaikkan ke paras tiga meter dari lantai Mataf dan bahagian binaan yang terdedah dilitupi dengan kain putih yang melambangkan Ihram, bagi mengekalkan kebersihan Kiswah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Sudais dipetik SPA sebagai berkata pengurusan Kiswah Kaabah adalah antara agenda yang menjadi keutamaan Kerajaan Arab Saudi sepanjang zaman sejak era kepemimpinan pengasasnya, Raja Abdulaziz bin Abdul Rahman.

Terdahulu pada Ahad, Sudais mengumumkan pelancaran Pelan Operasi berskala besar bagi musim haji 1443 H, yang menumpu kepada 10 langkah utama di bawah matlamat strategik Wawasan 2030 Arab Saudi.

(Foto Haramain Sharifain)

Related posts

Leave a Comment