Kes ketiga cacar monyet Thailand

BANGKOK 3 Ogos – Thailand merekodkan kes cacar monyet ketiga di Phuket, kata Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Opas Karnkawinpong hari ini.

Kes melibatkan seorang lelaki Jerman berusia 25 tahun yang tiba di Phuket pada 18 Julai lalu sebagai pelancong.

Lelaki itu dipercayai dijangkiti virus itu di negara lain kerana tempoh inkubasi adalah 21 hari. Pegawai sedang mengesan orang yang pernah berhubung rapat dengannya, untuk pemeriksaan.

Menurut Dr Opas, lelaki itu turut menunjukkan simptom demam, lepuh dan ruam yang bermula di kawasan pangkal paha sebelum merebak ke bahagian lain badan.

Gejala-gejala itu bertepatan dengan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa lepuh dan ruam ditemui di sekeliling alat kelamin 98% daripada mereka yang dijangkiti, dan kebanyakannya adalah homoseksual atau biseksual.

Bagaimanapun Ketua Kesihatan Awam Phuket Kusak Kukiatikoon

mengesahkan pesakit itu tiba di Phuket bersama isteri warga Thailand dan dia bukan homoseksual atau biseksual.

Di Phuket lelaki itu tinggal bersama keluarga isterinya di daerah Muang dan pasangan itu tidak mengunjungi pusat hiburan kecuali bersiar-siar.

Sementara itu dua kes terawal dilaporkan dalam keadaan baik.

Kes pertama cacar monyet di Thailand membabitkan seorang lelaki warga Nigeria berusia 27 tahun yang melakukan perjalanan dari Nigeria ke Phuket. Lelaki itu bagaimanapun melarikan diri ke Kemboja.

Kes kedua yang disahkan di Thailand ditemui di Bangkok, melibatkan  seorang lelaki warga Thailand berusia 47 tahun yang melakukan hubungan fizikal dengan warga asing.

Related posts

Leave a Comment