DPAKM peruntuk RM800 juta

PUTRAJAYA 22 Jun – Kabinet hari ini bersetuju dengan pelaksanaan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) di bawah Agrobank membabitkan peruntukan RM800 juta bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Ronald Kiandee, berkata  DPAKM ini akan menawarkan kemudahan pembiayaan yang khusus mengikut agihan pembiayaan.

Ia meliputi RM300 juta bagi ternakan ayam, ternakan ruminan iaitu lembu dan kambing (RM200 juta), tanaman sayur-sayuran (RM100 juta), usahawan mikro (RM100 juta), usahawan mikro baharu (RM50 juta) dan usahawan muda (RM50 juta).

Dalam kenyataan medianya hari ini, beliau berkata, had maksimum pembiayaan bagi ternakan ayam, ternakan ruminan dan tanaman sayur-sayuran ditetapkan sehingga RM5 juta.

Bagi usahawan mikro pula, usahawan mikro, usahawan mikro baharu dan usahawan muda adalah sehingga RM500,000.

Tempoh pembiayaan untuk DPAKM ini adalah sehingga 8.5 tahun termasuk enam bulan moratorium yang akan ditawarkan kepada semua golongan sasar.

Ronald berkata, kementeriannya juga giat dalam mempermudah pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari lalu.

Sehingga 21 Jun 2022, sebanyak 4,041 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM262 juta diluluskan oleh MAFI.

Beliau berkata, secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi dan bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga Jun 2022 serta disasarkan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa.

Katanya, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan susulan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan, selain memperincikan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang merentasi semua subsektor agromakanan.

Related posts

Leave a Comment