Singapura catat 7,109 kes baharu

SINGAPURA 21 Jun – Jumlah kes harian Covid-19 di Singapura menunjukkan peningkatan apabila Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 7,109 kes baharu  setakat pukul 12 tengah hari ini yang terdiri daripada 6,393 jangkitan tempatan dan 716 ‬‬kes import.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,378,090 orang dan tiada kematian baharu direkodkan dengan jumlah kematian kekal 1,405 orang.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 6,607 kes Protokol 2 iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Ini terdiri daripada 5,941 kes tempatan dan 666 kes import manakala  502 kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 452 adalah jangkitan tempatan, manakala 50 adalah kes import.

Sementara itu, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 1.23 naik berbanding 1.17 semalam. Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 semakin meningkat.

Sebanyak 326 pesakit masih dirawat di hospital, di mana 27 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, sembilan dipantau rapi di ICU manakala 3,826 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat Isnin, 20 Jun, sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah divaksin di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment