Kenaikan 23 peratus minggu ke minggu

SINGAPURA 21 Jun – Singapura menyaksikan kenaikan 23 peratus dari minggu ke minggu bagi jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat, demikian menurut Kementerian Kesihatan (MoH) dalam kenyataan media malam ini.

Menurut MoH, kenaikan itu sebahagian besarnya disebabkan penularan semakin meluas jujukan varian baharu Omicron, iaitu BA.4 dan BA.5.

Walaupun jujukan varian BA.2 masih menyumbang kepada sebahagian besar jangkitan Covid-19 di Singapura, MoH menyatakan jumlah jangkitan BA.4 dan BA.5 semakin meningkat.

Sekitar 30 peratus kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat sepanjang minggu lalu adalah kes dengan jujukan varian BA.4 dan BA.5. berbanding 17 peratus, lapan peratus dan tiga peratus masing-masing pada tiga minggu sebelumnya.

Jujukan varian BA.5 sahaja dianggarkan menyumbang sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan kes minggu ini.

MoH menjangkakan lonjakan kes jangkitan BA.4 dan BA.5 berkemungkinan berterusan, disebabkan ia lebih mudah berjangkit berbanding BA.2.

Bukti-bukti sedia ada di peringkat antarabangsa dan tempatan menunjukkan bahawa tahap teruk jangkitan BA.4 dan BA.5 serupa dengan jujukan awal Omicron.

Langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada, termasuk memakai pelitup muka di tempat-tempat tertutup dan (langkah pengurusan selamat) berdasarkan status vaksinasi bagi sebahagian kegiatan berisiko tinggi akan diteruskan.

Vaksinasi juga penting untuk melindungi daripada jatuh sakit teruk apabila dijangkiti Covid-19, lebih-lebih lagi memandangkan kenaikan jumlah kes.

“Kami sangat menggalakkan warga tua yang berusia 70 tahun dan ke atas (dan terutama sekali yang berusia 80 tahun dan ke atas) supaya mengambil suntikan kedua dos penggalak,” kata MoH.

Di samping itu, semua individu lain yang layak juga harus melengkapkan siri vaksinasi asas dan mendapatkan sekurang-kurangnya satu suntikan dos penggalak secepat mungkin.

Dalam hubungan ini MoH akan mengerahkan pasukan vaksinasi bergerak untuk membantu warga tua mendapatkan suntikan penggalak.

Related posts

Leave a Comment