Lebih 147,000 jemaah tiba di Madinah

MADINAH: Seramai 147,094 jemaah dari pelbagai negara tiba di Madinah menerusi laluan udara dan darat setakat 18 Jun lalu untuk menunaikan ibadah Haji tahun ini. 

Data mengenai jemaah yang tiba dan berangkat dari Madinah yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menunjukkan, 136,007 jemaah sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.

Pusat imigresen darat menyambut kedatangan 11,087 jemaah yang tiba di Madinah melalui jalan darat, demikian menurut agensi berita Saudi Press Agency (SPA). 

Data tersebut turut menunjukkan kerakyatan jemaah di Madinah, dengan jemaah warga Indonesia paling banyak iaitu 26,304, diikuti warga India 21,790, Pakistan 9,383 jemaah, Bangladesh 8,680 dan Iran dengan 6,326 jemaah. 

Seramai 49,388 jemaah sudah berangkat dari Madinah sepanjang beberapa hari yang lalu untuk meneruskan perjalanan mereka ke Makkah di mana terdapat 97,690 jemaah dari pelbagai negara.

Pihak-pihak berkepentingan di Madinah sudahpun mengerahkan kesemua pegawai mereka untuk menyambut kedatangan jemaah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin AbdulAziz dan pusat imigresen untuk menerima ketibaan jemaah melalui jalan darat bagi menunaikan ibadah Haji tahun ini. 

Related posts

Leave a Comment