RUU Antilompat Parti dibentang Julai

KUALA LUMPUR 17 Jun – Rang Undang-Undang Antilompat Parti kini berada di peringkat akhir, dan bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Julai ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tindakan melompat parti, terutamanya pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 telah merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

“Sehubungan itu, Rang Undang-Undang ini adalah mustahak untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas PRU15,” katanya ketika merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengenalan RUU tersebut merupakan antara langkah proaktif transformasi perundangan, khusus bagi memperkasakan undang-undang di Malaysia, yang sedang giat dijalankan oleh pihak Kerajaan ketika ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengulangi kenyataan sebelum ini berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori, susulan kekeliruan beberapa pihak seolah-olah hukuman mati telah dihapuskan sepenuhnya.

“Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah tersebut dijatuhkan hukuman mati ataupun hukuman pilihan yang lain.

“Objektif ini perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan dan pembuat polisi dalam hal berkaitan penghukuman suatu jenayah untuk mencari hukuman yang terbaik, setimpal dan berkesan,” katanya lagi.

Selain itu beliau berkata, kerajaan masih komited untuk mewujudkan RUU Dana Sumbangan Politik, sebagai sebahagian langkah transformasi perundangan di negara ini.

“Usaha memantapkan integriti politik turut merangkumi aspek-aspek lain termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik. Pengawal seliaan ini boleh meningkatkan ketelusan sumbangan politik di negara kita.

“Ini dapat mengurangkan risiko rasuah, serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengannya,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment