PICKids diadakan semula 5 hari

SEMPORNA 16 Jun – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) akan diadakan semula secara percuma untuk tempoh lima hari bermula 20 hingga 24 Jun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya akan membuka semua klinik kesihatan di seluruh negara untuk memberikan suntikan vaksin percuma kepada kanak-kanak yang terlepas PICKids yang lalu.

Sebelum ini, tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama PICKids secara percuma berakhir 31 Mei lalu dan kanak-kanak yang mahu disuntik selepas itu perlu mendapatkannya secara berbayar di pusa-pusat perubatan swasta.

Dr. Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisaitif itu bagi memberikan peluang kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menerima suntikan vaksin secara percuma.

KKM membuka peluang itu selama lima hari untuk ibu bapa yang baharu membuat keputusan supaya melakukannya dengan segera.

“Kita tahu ada ibu bapa yang sebelum ini mengambil keputusan ‘tunggu dan lihat’, jadi inilah peluang supaya mereka melakukannya selama lima hari,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, di sini .

Menurutnya lagi, ibu bapa tidak perlu lagi rasa ragu kerana PICKids adalah selamat untuk kanak-kanak dan membantu kejayaan penurunan kes susulan pengambilan vaksin Covid-19.

Noor Azmi berkata KKM mempunyai cukup vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac untuk diberikan kepada kanak-kanak di seluruh negara.

“Setakat ini hanya 1.7 juta daripada hampir 4 juta kanak-kanak sudah menerima vaksin dan masih ramai lagi ibu bapa yang belum membawa anak mereka mendapatkan vaksin.

“Justeru, ibu bapa disaran untuk membawa anak mereka menerima vaksin secara percuma tanpa janji temu di klinik-klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Beliau memberitahu Malaysia adalah antara negara yang terbaik dalam menjalankan program vaksinasi dan kesiapsiagaan hospital menerima pesakit Covid-19.

“Sehingga kini, pencapaian vaksinasi negara untuk golongan dewasa menghampiri 99 peratus, remaja 98 peratus dan dos pertama kanak-kanak 58 peratus.

“Kes jangkitan kemasukan ke hospital, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian akibat Covid-19 juga semakin berkurangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment