PKR perlu lonjakan baharu

KUALA LUMPUR 16 Jun – Barisan kepemimpinan baharu hasil Pemilihan PKR baru-baru ini memberi mesej positif dan jelas bahawa parti itu perlu lonjakan baharu bagi membawa perubahan yang lebih baik.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, namun perubahan yang dibawa itu perlukan dukungan yang kuat daripada rakyat dan tidak tersasar daripada prinsip reformasi.

Sebagai satu parti gerakan rakyat, PKR perlu merangkul semua kekuatan dan tidak berganjak daripada prinsip reformasi.

“Prinsip reformasi perlu terus dilaksanakan dan mesti ada kekuatan dukungan rakyat,” katanya melalui rakaman video ringkas sebagai mengulas keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR 2022 di Facebook hari ini.

Anwar berkata, sebagai parti yang mendukung ketelusan dan integriti, proses pemilihan perlu berjalan secara adil dan berintegriti.

Justeru, katanya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat minggu lalu bersetuju supaya Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) diberikan masa untuk melakukan audit forensik.

“JPP yang diketuai Dr Zaliha (Mustafa) meminta ruang tambahan diberikan supaya semua aduan diteliti.

“Ini kerana mungkin ada sebahagian aduan dikira tidak munasabah dan sebahagiannya diteliti jadi kita serah kepada kebijaksanaan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan syarikat audit bebas dilantik bagi mengaudit keputusan pemilihan.

“Sementara sistem (pengundian) sedia ada dipertahankan, (kita teruskan usaha) mengesan pelanggaran peraturan di bawah (proses pemilihan).

“Ini kekuatan kita sebagai parti dan jika kita bicara soal ketelusan dan integriti, jangan samakan dengan parti lain. Parti lain tidak berani apabila kita sebut mengenai audit forensik, mereka takut,” katanya.

Beliau menegaskan PKR memberi JPP lanjutan masa bagi menyiasat aduan tetapi menggesa ia dipercepatkan supaya tidak berlarutan sehingga menjejaskan persiapan jentera pilihan raya.

“Apbila mereka meminta (pakar) audit forensik diberikan waktu hingga 19 dan 20 Jun maka terlalu singkat untuk diadakan Kongres Nasional pada 23 Jun.

“MPP yang bersidang minggu lalu mengusulkan Kongres Nasional ditangguhkan ke 15 Julai dengan mengambil kira notis dua minggu sesudah pengumuman (pemilihan) muktamad oleh JPP,” katanya.

Related posts

Leave a Comment