MADINAH: Lebih 100,000 jemaah haji warga asing sudah tiba di Arab Saudi untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Setakat Isnin, 13 Jun seramai 99,884 jemaah haji sudah tiba dan bilangan itu belum termasuk jemaah yang tiba di tanah suci pada Selasa.
Menurut laporan Agensi Kementerian Haji dan Umrah bagi Ehwal Lawatan di Madinah, jumlah jemaah yang tiba di Saudi pada Isnin (13 Jun) mencecah 17,312.
Jumlah jemaah yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Muhammad di Madinah pada Isnin (13 Jun) adalah 13,123 dan ini belum termasuk 73,891 jemaah yang tiba di sana lebih awal.
Laporan itu juga menyatakan 4,539 jemaah sudah berangkat dari Madinah untuk ke Makkah pada Isnin melalui Pusat Perkumpulan Haji di Madinah manakala jumlah jemaah haji yang berangkat dari pusat itu adalah 9,131.
Sementara itu, jumlah jemaah haji yang masih berada di Madinah pula seramai 68,543 jemaah.
Agensi tersebut sedang berusaha untuk menawarkan pakej perkhidmatan kepada para jemaah haji dan pengunjung ke Masjid Nabawi.
Ia sudahpun melakukan 189 lawatan pemeriksaan untuk menilai piawai dan mutu tempat tinggal jemaah di samping menguruskan 285 kes kehilangan tempat tinggal dan 37 kes meninggalkan tempat penginapan serta membantu 121 jemaah yang tersesat jalan untuk pulang ke tempat penginapan masing-masing.
Selain itu, agensi tersebut juga membuat 13 lawatan pemeriksaan untuk menziarahi jemaah yang dimasukkan ke hospital dan 86 lawatan bagi menilai prestasi penyedia perkhidmatan.
Penilaian sampel persiapan tempat tinggal jemaah haji mencapai 75 peratus, menurut agensi tersebut sambil menarik perhatian bahawa tiada jemaah yang dilaporkan hilang setakat ini.
Agensi tersebut juga sedang berusaha untuk mempercepatkan masa yang diperlukan bagi menyelesaikan prosedur menyambut jemaah sewaktu ketibaan mereka di Saudi.
Tahun ini, purata masa yang diperlukan bagi menyelesaikan prosedur tersebut di luar tempat rehat lapangan terbang adalah 29 minit berbanding 36 minit pada musim Haji 2019.
