Johor kaji semula cuti hujung minggu

JOHOR BAHRU 14 Jun – Kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini pada Jumaat dan Sabtu, kata Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi.

Beliau maklum mengenai keluhan rakyat berhubung cuti hujung minggu yang berbeza antara pihak kerajaan dan swasta.

“Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini supaya ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

“Perkara ini akan saya umumkan kelak setelah mendapat kaedah yang paling tuntas untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika menyampaikan amanat khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-55, dilaporkan menitahkan cuti hujung minggu negeri Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu.

Baginda dilaporkan bertitah, pertukaran itu berkuat kuasa 1 Januari 2014 bagi memudahkan rakyat negeri ini beribadat dengan tenang.

Related posts

Leave a Comment