HFMD turun 22.9 peratus

PUTRAJAYA 14 Jun – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada Minggu Epidemiologi 23/2022 menunjukkan penurunan sebanyak 22.9 peratus iaitu sejumlah 13,080 kes dilaporkan berbanding minggu sebelumnya yang mencatatkan 16,954 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata trend kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan sejak ME 22/2022 selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022 iaitu melebihi 18,000 kes.

Katanya, walaupun terdapat trend penurunan kes HFMD sejak dua minggu berturut-turut, orang awam perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.

Mengulas mengenai situasi HFMD secara keseluruhannya, Dr Noor Hisham berkata pada tahun ini iaitu sehingga 11 Jun lalu, sejumlah 95,924 kes sudah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 36 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (ketika pandemik Covid-19) iaitu 2,654 kes.

Setakat 11 Jun lalu, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 26,799 kes (27.9 peratus) diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya 10,739 kes (11.2 peratus).

“Selain itu Perak dengan 9,744 kes (10.2 peratus), Johor 6,326 kes (6.6 peratus) dan Kelantan 6,153 kes (6.4 peratus), manakala negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 86,230 kes (90 peratus), diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun seramai 7,878 kes (8 peratus) dan selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,816 kes (dua peratus)

Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti pada tahun ini adalah, Enterovirus 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

Setakat ini terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) iaitu kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) disahkan dijangkiti EV71 dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Bagi kes ketiga pesakit sudah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah.

Sehingga kini sebanyak 1,882 wabak dilaporkan di Malaysia dan tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 602 wabak dikesan (32 peratus), diikuti Sarawak 265 wabak (14.1 peratus) dan Selangor 233 wabak (12.4 peratus).

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,102 wabak (59 peratus) serta rumah persendirian 696 wabak (37 peratus) dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 55 wabak (3 peratus).

Wabak didefinisikan sebagai kejadian kes HFMD dengan jumlah kes dua atau lebih dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Related posts

Leave a Comment