Arshad Ayub meninggal dunia

KUALA LUMPUR 14 Jun – Tokoh pendidikan negara, Tun Dr Arshad Ayub meninggal dunia di sebuah hospital pada pukul 2.06 pagi ini, demikian makluman kekuarga Allahyarham dalam satu kenyataan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Ayahanda tercinta kami, Allahyarham Tun Arshad Ayub, telah kembali ke Rahmatullah pada jam 2.06 pagi tadi, 14 Jun 2022.

“Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan di maklumkan kelak insya-Allah.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. عَنْهُDiharap agar sama-sama dapat sedekah Al Fatihah buat Allahyarham,” menurut kenyataan itu.

Arshad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa minggu lalu kerana masalah kesihatan.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Azmi dalam akaun Facebook beliau yang turut memberitahu situasi bapanya dalam keadaan 50:50.

Arshad, 93, adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak 1967 sehingga 1975, sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM.

Sepanjang  tempoh hampir lapan tahun menerajui institusi pengajian tinggi itu, menyaksikan ITM meraih pelbagai kemajuan dalam melahirkan modal insan Bumiputera sehinggakan Arshad digelar ‘arkitek’ pembangunan dan perkembangan unggul ITM.

Sepanjang hayatnya, Arshad menabur bakti di UiTM seterusnya dilantik sebagai Pro-Canselor setelah bersara daripada perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 32 tahun.

Allahyarham juga pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri selain pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Anak kelahiran Muar, Johor itu juga dilantik sebagai Canselor Universiti Antarabangsa INTI yang pertama pada 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.

Ketika berusia 23 tahun, Allahyarham mula berkhidmat dengan Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) pada September 1951 sebagai Penolong Pegawai Kadet Pembangunan Kampung.

Allahyarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) Datuk Zaini Hassan menyifatkan jasa Allahyarham dalam mendidik anak bangsa sebagai tiada tolok bandingnya.

“Tan Sri Arshad adalah tokoh yang mencipta sejarah dan memberi peluang kepada semua pelajar sama ada yang baik atau kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memperoleh ilmu sehingga mencapai tahap tertinggi (ijazah dan kelayakan profesional).

“Pada hari ini, ramai pemimpin perniagaan di sektor korporat dan sebagainya adalah anak-anak didik ITM, ini (hasil) jasa Allahyarham semasa mengasaskan ITM, beliau memperkenalkan kursus-kursus dalam bidang profesional termasuk peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA),” katanya.

 

 

Related posts

Leave a Comment