PH terbuka berunding hadapi PRU

PARIT BUNTAR 13 Jun – Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan parti lain bawah ‘khemah besar’ tanpa sebarang paksaan untuk menyertai konsep itu, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, inisiatif politik itu bertujuan mengukuhkan gabungan terbabit dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Konsep ‘khemah besar’ ini dikhaskan kepada parti-parti yang mahu menyertainya bagi memastikan matlamat satu lawan satu dapat direalisasikan pada PRU15 nanti.

Jika ada yang bersetuju dengan tawaran dibuat dan tanpa apa-apa syarat, maka boleh bersama-sama kita. Jika tidak bersetuju, kita mengucapkan terima kasih kerana itu hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Operasi & Sukarelawan PH Parit Buntar di Pusat Operasi PH Kampung Kedah, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof; wakil DAP, Sim Chee Keong; dan wakil PKR, S Kesavan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pendekatan ‘khemah besar’ adalah strategi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada PRU itu, di samping menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

“Namun, ia bukanlah suatu paksaan. Bagi yang hendak bersama, kita amat mengalu-alukannya. Bagi yang tidak mahu bersama, kita tidak memaksa kerana itu hak mereka,” katanya.

Beliau berkata, jentera Amanah di seluruh negara telah bersiap siaga untuk menghadapi PRU15 dan kini hanya menunggu ‘paluan gendang’.

“Kita percaya pada PRU15 nanti, peratusan rakyat keluar mengundi akan lebih tinggi berbanding ketika dua pilihan raya negeri (PRN) yang lalu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment