Bersatu tidak bincang kedudukan PM

TAMBUN 13 Jun – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak membincangkan kedudukan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kata Timbalan Presidennya, Ahmad Faizal Azumu

Sebaliknya, mesyuarat itu, membincangkan persiapan untuk menghadapi pilihan raya di samping masalah kos sara hidup,  harga makanan yang tinggi serta mencari jalan bagaimana hendak membantu kerajaan menangani masalah rakyat.

“Kami (Bersatu) tak ada bincang tentang kedudukan Perdana Menteri… kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan kami mahukan satu kerajaan yang stabil yang boleh memberi fokus kepada masalah rakyat, bukannya kepada masalah peribadi, bukan kepada masalah politik.

“Masalah rakyat perlu diutamakan, itu yang telah kami bincangkan. Kalau ada ura-ura berkenaan perbincangan lain, itu bohong,” katanya selepas merasmikan Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan di  sini, hari ini.

Menurutnya, Bersatu tidak membincangkan soal politik, sebaliknya sentiasa memikirkan mengenai masalah rakyat.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan mesyuarat MPT Bersatu pada 8 Jun lalu antara lain membincangkan kedudukan Perdana Menteri, sekiranya Bersatu mendapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

Related posts

Leave a Comment