Tidak perlu bawa sejadah

SEREMBAN 12 Jun –  Prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti di masjid dan surau di Negeri Sembilan, dilonggarkan mulai esok, 13 Jun, kata Menteri Besar, Aminuddin Harun hari ini.

Kelonggaran itu termasuk tiada lagi penjarakan fizikal dalam saf jemaah yang juga tidak lagi diwajibkan membawa sejadah bersaiz standard untuk menunaikan solat.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliah, tazkirah dan ceramah, turut dibenarkan berlangsung tanpa penjarakan fizikal.

“Bagaimanapun, jemaah masih wajib memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang berada di dalam ruang masjid dan surau yang tertutup,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Seterusnya, Aminuddin berkata, pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini juga dibenarkan di masjid dan surau seluruh negeri ini.

Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama negeri memaklumkan, pemohon atau penganjur ibadah itu perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS, mulai pukul 2 petang hari ini.

Katanya, sebarang program yang diadakan tertakluk kepada kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui Pejabat Agama Islam setiap daerah.

“JHEAINS akan terus melakukan pemantauan, dan masjid serta surau yang tidak mematuhi SOP berkenaan boleh diambil tindakan, termasuk diarah tutup sekurang-kurang tujuh hari,” katanya.

Related posts

Leave a Comment