China tangguh buka sekolah

BEIJING: Pihak berkuasa China menangguhkan pembukaan semula sekolah yang dijadualkan minggu depan, berikutan penularan jangkitan Covid-19.

Kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah akan ‘terus belajar dalam talian di rumah’ mulai Isnin, kata jurucakap kerajaan bandar Xu Hejian pada taklimat akhbar hari ini.

Pengumuman itu membatalkan keputusan sebelum ini untuk menghantar murid yang lebih muda kembali ke sekolah secara berperingkat, mulai minggu depan.

China adalah negara kuasa besar ekonomi yang masih komited kepada strategi sifar Covid-19, menjadikan tiada kes melalui gabungan usaha penutupan secara bersasar, pengujian kes besar-besaran dan tempoh kuarantin yang panjang.

Bagaimanapun, kewujudan kluster sejak kebelakangan ini meletakkan pendekatan yang diambil pihak berkuasa di bawah tekanan.

Bandar mega Shanghai terpaksa di bawah perintah penutupan selama berbulan-bulan, sementara di ibu negara, Beijing, sekolah ditutup serta penduduk diarahkan bekerja dari rumah.

Pihak berkuasa di Beijing mengurangkan banyak sekatan bermula awal minggu ini, namun berpuluh-puluh jangkitan yang dikaitkan dengan bar menyebabkan pihak itu mengetatkan lagi beberapa sekatan.

Kira-kira 115 kes dikaitkan dengan kluster bar setakat ini, kata pegawai kesihatan perbandaran Liu Xiaofeng pada taklimat itu.

“Penularan wabak baharu itu pada peringkat yang pesat merebak dan berisiko tinggi untuk merebak,” katanya.

Lebih 20 juta orang di Shanghai diminta melakukan ujian pengesanan secara besar-besaran hari ini yang menurut kerajaan tempatan akan berlangsung di bawah keadaan penutupan sementara.

Langkah itu dibuat kurang daripada dua minggu selepas hab ekonomi timur itu keluar sekatan keras yang diselangi oleh kekurangan makanan dan protes terpencil daripada penduduk yang marah.

Related posts

Leave a Comment