AS tidak wajibkan ujian Covid-19

WASHINGTON 11 Jun – Pelancong yang tiba di Amerika Syarikat (AS) melalui laluan udara tidak lagi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, menjadikan ia antara langkah besar dalam penarikan sekatan menangani wabak itu.

Penolong Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Kevin Munoz mengesahkan berita itu di Twitter malah media AS melaporkan langkah itu dijangka ditamatkan hujung minggu ini, susulan gesaan industri pelancongan negara itu.

Sebelum memulakan penerbangan, semua penumpang hanya perlu menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19 yang dibuat sebelum perjalanan atau bukti mereka pulih daripada jangkitan virus itu dalam tempoh 90 hari.

Munoz berkata, tindakan dan keputusan dibuat Presiden AS, Joe Biden berkaitan rawatan dan vaksin pandemik itu dianggap kritikal untuk melonggarkan sekatan perjalanan dan menjelaskan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit akan terus menilai data Covid-19 susulan peningkatan kes baru-baru ini.

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Biden, Brian Deese memberitahu CNBC, mereka percaya terhadap kemajuan yang dilakukan untuk menyediakan protokol Covid-19 untuk menarik semula larangan itu.

“Saya fikir langkah ini (tarik balik ujian Covid-19 kepada pelancong antarabangsa) akan menjadi berita baik untuk ahli perniagaan, syarikat dan sektor perdagangan AS,” katanya.

Sebelum ini, banyak larangan di seluruh AS sudah ditarik semula dan baru-baru ini berlaku peningkatan dalam jumlah kes virus harian, sebahagian besarnya disebabkan oleh subvarian Omicron baharu.

Kira-kira 300 orang mati setiap hari di negara itu akibat Covid-19 namun angka itu menurun berbanding Februari lalu, dengan purata harian melonjak kepada 2,700 kes.

Related posts

Leave a Comment