Isu ayam selesai bulan Julai

SERDANG 4 Jun – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan isu berkaitan bekalan ayam di negara ini akan selesai menjelang bulan hadapan, kata Ketua Pengarahnya, Norlizan Mohd Noor.

Beliau berkata jaminan dibuat hasil beberapa pendekatan untuk menyelesaikan isu berkenaan, termasuk libat urus antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan,  Ronald Kiandee, bersama pihak berkaitan di lapangan.

Norlizan berkata, JPV antara lain sudah menerima jaminan penggerak industri yang komited untuk terus meningkatkan pengeluaran selepas pertemuan secara bersemuka bersama mereka, baru-baru ini.

“Pegawai dan auditor JPV serta JAKIM sudah digerakkan bagi kerja pengauditan rumah sembelih sedia ada atau baharu di beberapa negeri yang diyakini mampu menyediakan sumber lebih luas dan banyak pada harga kompetitif jika memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, menjelang sambutan Aidiladha,Mbekalan (ayam) mencukupi dengan komitmen semua pihak terbabit, daripada pemain industri, kementerian dan galakan kerajaan.

“Kita turut membuka satu lagi kebenaran mengimport ayam sejak Januari lalu dan kemasukan dengan perincian lengkap ada pada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Kemasukan ayam import ini menampung kekurangan yang ada dan seperti Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, umumkan, kita sudah hapuskan Lesen Import (AP).

“Dulu keratan ayam masuk untuk proses tetapi kini boleh diniaga dan jual di mana-mana. Ini akan membantu,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Veterinar Sedunia 2022 di sini, hari ini.

Related posts

Leave a Comment