Kenapa perlu menang dan bagaimana?

KUALA LUMPUR 1 Jun – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan menggariskan tiga sebab kenapa BN mesti mengambil alih semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO turut menggariskan bagaimana BN harus melakukannya bagi mencapai matlamat itu.

Mohamad dalam ucapan perasmian Konvensyen BN sempena ulang tahun BN ke-48 berkata BN perlu menang bagi memulihkan kembali negara, mengembalikan kestabilan politik, dan mencipta masa depan untuk generasi akan datang.

“Pada saat kita berhimpun ini, rakyat di luar sana sedang sangat terbeban. Harga barang melambung naik sehingga di luar kemampuan rakyat. Malah, bekalan makanan asas berisiko terputus atau tidak mencukupi.

“Sumber protein kita telah menjadi sangat mahal. Segalanya, dari makanan kepada kos kehidupan lain, telah menjadi sangat luar biasa dari kemampuan purata rakyat Malaysia,” katanya,

Begitu juga kepercayaan kepada institusi awam terjejas dengan iklim pelaburan terus pudar dan perlahan di mana segalanya lebih baik dahulu daripada sekarang.

“Kerana itu kita mesti memulihkan Malaysia. Ia harus menjadi misi paling utama BN.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara ini, apabila BN ditewaskan pada 2018. PH has failed to govern and they failed miserably,” tegasnya.

Menurut Mohamad, walaupun menerajui semula kerajaan ketika ini, BN tidak mempunyai kuasa yang dominan sebaliknya dalam keadaan ‘tangan terhad dan terikat’.

“Kita terpaksa akur, dengan pelbagai kekangan dan persefahaman politik, dengan pelbagai sekutu dan seteru. Jika kita mahu bertindak sedikit agresif atau lain dari selera mereka , kita diancam dan diugut,” katanya yang disifatkan situasi tidak baik.

Sebab kedua, adalah ketidakstabilan politik dalam tempoh tiga tahun, telah menjerumuskan Malaysia ke era 20 tahun ke belakang yang jika semua ini berterusan. Malaysia akan menjadi negara, yang terus ketinggalan dan tercorot.

“Kita mesti pasakkan dalam sanubari setiap rakyat Malaysia, untuk tidak terus bereksperimen dengan politik negara. Mereka mesti membuat keputusan dengan rasional dan objektif, bukan emosional dan terbawa-bawa dengan sentimen,” katanya.

BN juga mesti mengambil alih semula Malaysia, bagi menyediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang.

“Mentadbir negara, bukan setakat menguruskannya, untuk kemandirian hari ini. Tetapi, ia juga tentang membina asas-asas kelangsungan hari esok. Kita bukan hanya mewarisi Malaysia ini dari generasi lepas, tetapi turut meminjamnya dari generasi akan datang,” katanya.

Persoalannya, bagaimana BN harus  memenangi PRU akan datang, demi tanggungjawab kepada Malaysia dan generasi akan datang?

“Jawapannya adalah melalui idea, kesepakatan, politik moral, kepimpinan ‘intergenerational’ dan strategi yang tuntas,” katanya.

Mengenai idea, beliau berkata, BN akan diukur dengan apa yang boleh ditawarkan kepada Malaysia, bagaimana menguruskan Kerajaan dan dasar apa yang akan di terokai dan tampilkan.

Katanya, parti tanpa idea, adalah parti yang mati dan tiada siapa yang akan yakin dengan BN, jika ia gagal mengemukakan idea yang bernas untuk Malaysia.

Begitu juga BN mesti kukuh dalam kesepakatan bukan hanya tampil dengan logo BN, tetapi jiwa dan raga serta menghadapi pilihan raya sebagai Barisan Nasional bukan sekadar parti komponen BN.

“Kita mesti menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat bahawa BN adalah pasukan Malaysia bukan pasukan UMNO, MCA, MIC dan PBRS secara berasingan sebaliknya sebagai sebuah pasukan terbaik, untuk masa depan Malaysia,” katanya.

Justeru beliau berharap parti tidak membuang masa lagi, bercakaran sesama sendiri yang hanya akan melemahkan BN.

Di samping itu, BN mesti menolak oportunis politik dan tidak memberi ruang kepada pedagang politik sebaliknya membuka ruang, menyokong dan mengangkat kepercayaan kepada calon yang berilmu, berakhlak, berprinsip dan memberikan jiwa nurani kepada negara dan bangsa.

“Dahulu kita dalam BN berbelas belas komponen. Bila kita kalah, kita cuma tinggal berempat. Semua meninggalkan kita, kerana moral, perjuangan dan kesetiaan mereka telah ditafsir dan diubah-ubah mengikut selera dan perut yang tidak pernah kenyang,” katanya,

BN juga perlu menampilkan pemimpin serta calon ‘inter-generational’ dan terangkum untuk membawa panji-panji BN yang mestilah mewakili pelbagai generasi, latar belakang dan kepentingan yang inklusif.

“Yang berusia dan berpengalaman, kita perlukan, demi hikmah dan kematangan, yang pertengahan usia, demi kesediaan untuk mewarisi kepimpinan hari muka dan muda remaja,  untuk kita latih dan beri pengalaman.

“Yang gadis dan wanita, kerana kita yakin mereka punya tempat penting dan setara dalam Kerajaan dan masyarakat, yang dari etnik pelbagai dan masyarakat asal, kerana mereka adalah sebahagian penting dari kepelbagaian Malaysia,” katanya.

Begitu juga yang berkelainan upaya dan potensi, adalah kerana mereka mempunyai tempat dalam hal bernegara dan berkerajaan.

“Tuntasnya, kita memerlukan semua untuk semua” katanya.

Related posts

Leave a Comment