Muslim, Orang Asli anggota Kabinet Australia

CANBERRA 1 Jun – Dua Ahli Parlimen beragama Islam dilantik menganggotai barisan Kabinet, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese hari ini.

Ed Husic yang dilantik sebagai Menteri Industri dan Sains, dan Anne Aly selaku Menteri Belia dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak mengangkat sumpah hari ini.

Husic, 52 dibesarkan di barat Sydney dan mendapat pendidikan di Sekolah Awam Blacktown South, Sekolah Tinggi Mitchell dan Universiti Western Sydney.

Dilantik sebagai Ahli Parlimen Chifley dari Parti Buruh pada 2010, beliau aktif dalam kesatuan pekerja serta berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, infrastruktur dan kesihatan.

Aly, 55, pula Ahli Parlimen Cowan adalah ahli akademik yang pakar dalam bidang memerangi keganasan dan pernah menjadi pensyarah di Edith Cowan University dan Curtin University.

Dengan pelantikan itu menjadikan jumlah keseluruhan Kabinet di bawah terajui Albanese seramai 23 orang, melebihi tujuh orang berbanding barisan Kabinet diketuai Scott Morrison sebelum ini.

Seramai 10 wanita dilantik dalam Kabinet Albanese, termasuk seorang wanita Orang Asli pertama, Linda Burney sebagai Menteri Orang Asli Australia.

Barisan Kabinet pimpinan Perdana Menteri baharu itu melakar sejarah dengan pelantikan lebih ramai wanita termasuk dalam kalangan minoriti dan Orang Asli.

Turut dikantik Timbalan Perdana Menteri, Richard Marles yang juga Menteri Pertahanan, Penny Wong di Kementerian Hal Ehwal Luar, Jim Chalmers sebagai Bendahari dan Katy Gallagher di Kementerian Kewangan.

Don Farrel pula dilantik sebagai Menteri Perdagangan yang baharu dan Tanya Plibersek sebagai Menteri Alam Sekitar.

Sementara Clare O’Neil ditugaskan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Chris Bowen sebagai Menteri Tenaga manakala bekas pemimpin parti Buruh, Bill Shorten bakal berkhidmat sebagai Menteri Perkhidmatan Kerajaan.

Related posts

Leave a Comment