Wakil PN keluar Dewan Rakyat tanda protes Speaker

KUALA LUMPUR 28 Ogos  – Ahli Parlimen pembangkang keluar meninggalkan Dewan Rakyat hari ini selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker,  Johari Abdul berhubung keperluan merujuk terlebih dulu rang undang-undang (RUU) baharu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).

Tindakan itu dilakukan  selepas selesai urusan undian belah bahagian RUU Perolehan Kerajaan 2025 peringkat bacaan kali kedua, menyebabkan sebilangan Ahli Parlimen tidak berada dalam dewan ketika RUU dibaca pada kali ketiga sebelum diluluskan.

Sebelum itu, Johari mengumumkan RUU itu diluluskan selepas 125 Ahli Parlimen menyokong, 63 lagi menolak, seorang tidak mengundi sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu, Ronald Kiandee (PN-Beluran) bangkit mempersoal kenyataan Johari yang tidak mewajibkan sesuatu RUU baharu dibentang kepada JKPK terlebih dulu, sekali gus menganggap ia bertentangan peraturan mesyuarat baharu di bawah 80(b)(1) dan (80(b)(3).

Ketua pembangkang, Hamzah Zainuddin turut menyatakan pendirian sama serta menolak alasan keperluan supaya JKPK menulis surat kepada kementerian bertanggungjawab terhadap sesuatu RUU itu.

“Ini peraturan (mesyuarat) baharu yang diperjuang Speaker sendiri. Kami ini mendengar cakap. Kalau kami boleh dengar, mengapa tidak sebelah sana (kerajaan). Bukan semata-mata tidak menyokong (RUU Perolehan Kerajaan 2-25), ini adalah satu proses yang Speaker sendiri mahu.

“Sebab itu kami menolak ini, sebab perkara ini langsung tidak dibawa dalam mana-mana jawatankuasa sekalipun. Jangan buat alasan menyatakan jawatankuasa itu tak tulis surat.

“Kalau pun kami tak menulis surat, sebelum mengundi tadi pun kita sudah bawa usul ini (RUU dirujuk kepada JKPK dulu) dan kalau begini caranya, saya minta luluslah perkara itu dan kita semua keluar menunjukkan kita tak setuju,” katanya sebelum beredar meninggalkan Dewan diikuti Ahli Parlimen pembangkang lain.

Sementara itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas itu berkata, pembangkang berhak untuk dirujuk terlebih dulu mengenai kandungan RUU itu, apatah lagi RUU itu dibentang secara tergesa pada Isnin lalu.

“Kenapa RUU yang dibawa untuk bacaan kali pertama pada Isnin lalu tidak dibawa pada jawatankuasa yang berkaitan Kementerian Kewangan. Kami ada empat wakil dari PN dalam jawatankuasa. Apakah kerana Menteri Kewangan ini siapa?

“(RUU) ini tidak dirujuk langsung. Atas sebab itulah kami Ahli Parlimen PN (anggap dengan) jawapan Speaker, (maka) tak ada gunanya buat (peraturan baharu itu).

“Untuk memperkasa, yang jadi ketuanya Speaker, (tapi) dia buat tafsiran menyeleweng dan (seolah-olah) mempunyai niat tersendiri. (Mungkin) sebab ‘owner bill’ ini adalah Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Sementara itu, Johari menegaskan, gesaan pembangkang supaya ia dirujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) tidak berbangkit memandangkan ketika RUU itu dibentang peringkat bacaan kali pertama dulu, tiada apa-apa permohonan daripada JKPK minta ia ditetliti terlebih dulu diperingkat mereka.

Jawatankuasa iaitu pengerusi mestilah menulis (surat) kepada mana-mana kementerian yang akan memastikan draf undang-undang selepas bacaan pertama.

Dia boleh (minta), tapi saya sudah semak tidak ada permohonan untuk JKPK minta itu, jadi saya anggap tidak ada permohonan,” katanya.

Perincian dan matlamat penggubalan RUU berkenaan yang dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim petang semalam, seterusnya dibahaskan oleh 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sepanjang sesi perbahasan semalam, Ahli Parlimen pembangkang juga membangkitkan kebimbangan mereka mengenai beberapa peruntukan fasal di bawah RUU ini yang disifatkannya memperuntukkan lebih kuasa kepada Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan ketika menggulung RUU berkenaan menafikan anggapan pembangkang ia dibentang pada saat akhir, sebaliknya menjelaskan penggubalannya sudah bermula sejak 2018 lagi.

RUU ini mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal yang digubal dengan hasrat untuk mencapai beberapa matlamat jelas dan tegas, iaitu meletakkan pertanggungjawaban sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang melaksanakan perolehan menggunakan dana kerajaan.

RUU Perolehan Kerajaan 2025 itu dibahaskan oleh 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment