1,400 kes cacar monyet di 7 negara

KIGALI: Sebanyak 1,400 kes cacar monyet dilaporkan setakat tahun ini melibatkan tujuh negara di benua Afrika dengan 1,392 kes disyaki manakala 44 lagi kes disahkan.

Menurut kenyataan pejabat serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Afrika, negara itu  ialah Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Liberia, Nigeria, Republik Congo dan Sierra Leone.

Sehingga 2019, kes cacar monyet di Nigeria dilaporkan terutamanya di selatan negara itu. Tetapi sejak 2020, virus itu telah merebak ke kawasan tengah, timur dan utara.

Cacar monyet pertama kali dikesan menjangkiti manusia pada 1970 di rantau Afrika, dan sejak itu, kebanyakan kes telah dilaporkan di kawasan hutan hujan dan luar bandar.

Pada 2017, terdapat peningkatan kes yang mendadak, dengan lebih 2,800 kes disyaki dilaporkan di lima negara.

Kes terus melonjak pada 2020, dengan lebih 6,300 kes disyaki, menyaksikan Republik Demokratik Congo menyumbang 95 peratus daripada jumlah keseluruhan. Jumlah itu kemudian menurun pada 2021 kepada sekitar 3,200 kes disyaki.

Baru-baru ini pada 7 Mei, kes pertama dilaporkan di Eropah melibatkan individu baru pulang ke England dari Nigeria.

Menurut kemas kini terbaharu WHO, kes cacar monyet kini dilaporkan di 23 negara, iaitu 260 kes dan 120 kes disyaki.

Sementara itu Hungary dan Thailand mencatatkan kes pertama cacar monyet.

Di Hungary, Ketua pegawai perubatan, Cecilia Muller, berkata kes melibatkan lelaki berusia 38 tahun.

Di Thailand pula kes dikesan apabila seorang penumpang dalam perjalanan dari Eropah yang transit di lapangan terbang antarabangsa di Bangkok selama kira-kira dua jam ke Australia, dikesan mengalami gejala.

Menurut Pengarah Epidemiologi Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Dr Chakkarat Pittawawongon, individu yang positif cacar monyet itu mempunyai lepuh di muka dan badan.

Individu itu juga mempunyai sejarah hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti dalam tempoh 21 hari lalu, dan mengembara dari negara di mana terdapat jangkitan penyakit itu

“Beliau mempunyai sejarah terbabit dalam aktiviti dengan orang yang dijangkiti atau berkongsi bilik yang sama dengan seseorang yang dijangkiti,” katanya

Beliau berkata, 12 anak kapal dan penumpang dalam penerbangan yang sama, yang berhubung rapat dengan individu berkenaan sudah dikuarantin di sini, selama tujuh hari.

Bagaimanapun, katanya, tiada seorang pun daripada mereka menunjukkan sebarang gejala yang dikaitkan dengan cacar monyet, tetapi mereka akan diasingkan selama 21 hari untuk memastikan mereka selamat.

Related posts

Leave a Comment