TUDM perisai kedaulatan negara

SUBANG 1 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diibaratkan sebagai perisai yang melindungi rakyat dan segenap kemakmuran negara, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Titah baginda sebagai tonggak utama mempertahankan ruang angkasa negara, ia memerlukan pembentukan warga udara berkapasiti tinggi.

“Pembangunan kapasiti warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan transformasi keupayaan perlu bergerak seiringan dalam membentuk angkatan udara masa hadapan berwibawa,” titah baginda.

Di samping itu ia turut menuntut pembangunan keupayaan peralatan seiring arus kemodenan teknologi semasa di mana warga TUDM perlu diterap dengan kemahiran mampan sejajar evolusi pembangunan kapasiti.

Susulan itu, peningkatan keupayaan warga udara berasaskan teknologi akan dapat memacu ke arah pembentukan modal insan berimpak tinggi dan pada masa sama, pemantapan jasmani serta rohani.

“Selain itu, memperkasa jati diri setiap warga udara sewajarnya terus diberikan tumpuan,” titah baginda pada majlis Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-64 di Pangkalan Udara Subang, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Pangkalan TUDM pada pukul 9 pagi disambut Panglima Angkatan Tentera (ATM) Affendi Buang; Panglima TUDM,  Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalannya, Mohammad Salleh Osman.

Nyanyian lagu Negaraku dan Perwira Di Angkasa dialunkan Gabungan Pancaragam TUDM sebelum baginda berdua menerima penghormatan diraja disertai lintas hormat lima helikopter membawa Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera TUDM.

Al-Sultan Abdullah selepas itu memeriksa perbarisan 23 pegawai dan 420 anggota Lain-Lain Pangkat, diketuai Left Kol Hassan Basri Tajul Ariffin dengan menaiki kenderaan istiadat.

Baginda bertitah, warga udara perlu sentiasa berpegang teguh kepada disiplin dan etika ketenteraan serta memiliki sifat terpuji yang unggul.

Titah baginda, bagi memastikan TUDM sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, keupayaan pertahanan udara perlu juga melalui transformasi secara menyeluruh dan holistik selari perkembangan teknologi ketenteraan semasa.

“Aplikasi teknologi terkini bukan saja terhad kepada peningkatan keupayaan pesawat terbang, malah ia juga perlu membabitkan peningkatan keupayaan kejuruteraan, logistik, latihan dan pengurusan ruang udara.

“Semua ini demi mendukung pertahanan komprehensif negara dan memperkukuh perkongsian berwibawa di peringkat serantau dan antarabangsa,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan keyakinan menerusi pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan sejajar teknologi terkini, TUDM sebagai sebahagian elemen pertahanan negara akan dapat menjamin kesejahteraan, kestabilan, keamanan serta kelangsungan ekonomi negara.

Baginda bertitah, TUDM kini semakin megah berperanan sebagai sebuah perisai kedaulatan negara serta turut cemerlang dalam pelbagai inisiatif kerjasama serantau dan antarabangsa terutama dalam mendepani krisis kemanusiaan.

Related posts

Leave a Comment